Cadangan tubuhkan pangkalan data bersepadu untuk projek pembangunan

BINTULU: Sarawak bercadang menubuhkan pangkalan data bersepadu melibatkan saluran paip dan infrastruktur kritikal lain, bagi mempercepat pelaksanaan projek pembangunan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah itu penting bagi keperluan penyelarasan maklumat utiliti lebih sistematik.

“Ketepatan maklumat lokasi utiliti seperti paip gas sangat penting agar projek pembinaan jalan dan kemudahan lain tidak tergendala atau terpaksa diubah akibat masalah teknikal di lapangan.

“Kita tidak mahu kerja pembinaan terpaksa dihentikan kerana tidak tahu ada paip di bawah tanah. Ini hanya menambahkan kos.

“Maka, saya mahu Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dan semua agensi berkaitan sediakan data lengkap yang boleh diakses dan digunakan semasa perancangan,” katanya pada Majlis Perasmian Saluran Paip Gas Pertama ke Sungai Plan, Bintulu, di sini, hari ini.

Beliau turut mencadangkan agar Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi menubuhkan satu pusat kawalan data sebagai pusat penyimpanan maklumat semua infrastruktur utiliti.

Katanya, ia penting bagi membolehkan setiap projek pembangunan diselaraskan dengan keadaan sebenar di tapak, sekaligus mempercepat kelulusan dan pelaksanaan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan pelaksanaan projek saluran paip gas di Miri menunjukkan impak positif terhadap ekonomi isi rumah apabila kos penggunaan gas menurun sehingga 40 peratus berbanding penggunaan tong gas tradisional.

Melihat kejayaan itu, Premier mengarahkan PETROS melaksanakan pelan sama di Bintulu.

Ia bermula dengan kawasan Sungai Plan seterusnya diperluas ke Kidurong dan pusat bandar menjelang 2030, sebelum diperluaskan ke Kakus dan Sebauh.