JAKARTA: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijadual menghadiri beberapa program rasmi bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Jakarta, hari ini.
Ia sebagai sebahagian daripada delegasi Malaysia ke Konsultasi Tahunan Malaysia-Indonesia Ke-13.
Antara atur cara utama termasuk pertemuan Perdana Menteri dengan Ketua-Ketua Pengarang Media Indonesia dan ahli Persatuan Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI), selain perjumpaan rasmi bersama Presiden Indonesia, Joko Widodo di Istana Merdeka.
Lawatan turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang kesihatan antara Menteri Luar Negeri Malaysia dan Menteri Kesihatan Indonesia sebagai langkah memperkukuh kerjasama dua hala dalam sektor strategik.
Delegasi Malaysia dan Indonesia turut dijadual mengadakan mesyuarat rasmi menerusi platform Konsultasi Tahunan yang berperanan memperkukuh hubungan diplomatik dan kerjasama pelbagai bidang antara kedua-dua negara.
Abang Johari juga akan menyertai delegasi negara dalam lawatan rasmi ke Sekretariat ASEAN, termasuk menyertai upacara penanaman pokok, sesi bergambar sempena Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, serta acara simbolik penyerahan lukisan dan tandatangan buku pelawat.
Terdahulu, Abang Johari tiba di Jakarta semalam pada jam 11.17 pagi menerusi penerbangan dari Kuching bersama delegasi Sarawak.
Turut mengiringi beliau ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Utiliti, Dato Ibrahim Baki serta Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Energy Berhad, Datuk Sharbini Suhaili.
