Projek Jambatan Batang Lupar 1 lancar, bakal gantikan perkhidmatan feri

SEBUYAU: Projek Jambatan Batang Lupar 1 yang bakal menjadi jambatan terpanjang di Malaysia kini mencapai kemajuan 84 peratus dan dijangka dapat digunakan pada tahun depan.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, jambatan sepanjang 4.8 kilometer (km) dengan tiang setinggi 111 meter (m) itu akan menjadi mercu tanda baharu negeri serta memendekkan masa perjalanan.

“Pembinaan yang bermula sejak Januari 2021 berjalan mengikut jadual walaupun berdepan cabaran teknikal, termasuk isu pada tiang nombor 52 yang kini sedang ditangani kontraktor,” katanya ketika ditemui di tapak projek, hari ini.

Uggah menambah, apabila siap kelak, jambatan bernilai RM848.7 juta itu akan menggantikan sepenuhnya perkhidmatan feri Batang Lupar yang digunakan penduduk selama ini.

Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak berkata, JKR akan terus memantau rapat projek itu bagi memastikan ia tidak tergendala.

Beliau turut menghargai usaha kontraktor mengatasi cabaran pembinaan di kawasan muara sungai yang sukar dijangka.

“Kerajaan Sarawak kini sedang membina 16 jambatan besar termasuk Jambatan Marina, Miri dengan peruntukan RM6.53 bilion.

“Apabila semua siap pada akhir 2026, perjalanan dari Kuching ke Miri tidak lagi memerlukan feri,” katanya.