KUCHING: Rakyat Sarawak harus bersyukur atas nikmat keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran hasil pengorbanan pejuang terdahulu.
“Tumpahan darah dan curahan keringat serta kepayahan dan keperitan mereka dalam perjuangan telah menghasilkan keharmonian dan kesentosaan hidup kepada kita,” kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas semasa Majlis Sambutan Hari Pahlawan 2025 di Tugu Pahlawan, Taman Budaya di sini, hari ini.
Justeru, Abang Johari menggesa agar rakyat terus mengenang jasa pejuang terbabit dan sentiasa mendoakan mereka serta keluarga yang ditinggalkan.
Turut hadir, Pegawai Tugas Khas Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar merangkap Pengerusi Penganjur Majlis Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Sarawak Tahun 2025 Leftenan Jeneral Datuk Stephen Mundaw, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata.
