KUCHING: Negara ini sedang berhadapan cabaran jumlah doktor yang semakin berkurangan di hospital kerajaan.
Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, ini kerana ramai doktor mengambil keputusan berpindah ke hospital swasta atau ke luar negara termasuk di Singapura dan Arab Saudi.
“Ini adalah satu cabaran yang dihadapi oleh negara kita berhubung kait dengan bidang kesihatan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas HE Medical Clinic di Canaan Square, di sini, hari ini.
Fadillah berkata, walaupun berdepan cabaran itu, dari maklumbalas orang asing yang mendapatkan perkhidmatan rawatan di Malaysia sama ada di hospital kerajaan atau swasta menyatakan perkhidmatan itu adalah mengikut piawaian dunia dan harganya lebih berdaya saing dari negara lain.
Di samping itu, beliau berkata sebahagian daripada cabaran itu termasuk doktor memberi alasan berkhidmat di luar bandar.
“Jadi sebab itu kita nak galakkan rakyat tempatan ( jadi doktor) supaya mereka akan lebih bersedia untuk berkhidmat di luar bandar,” katanya.
Selain itu, Fadillah berkata Projek Tebatan Banjir Bandaraya Kuching akan ditender tahun ini dan akan melibatkan baraj di sini bagi mengelakkan Sungai Sarawak dimasuki air masin ketika pasang besar laut.
“Ia termasuk baraj sekali membabitkan kos sampai RM2 bilion serta ada tiga pakej kerja,” katanya.
Beliau berkata, projek ini nanti dijangka bermula tahun depan dan akan dilaksanakan sebahagiannya oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Sementara itu, Pengarah Kumpulan Perubatan He Medical, Dr Mohammad Imran berkata, klinik tersebut, merupakan yang pertama di Sarawak malah di Malaysia Timur.
Katanya, klinik tersebut beribu pejabat di Icon Tower, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
“Kami memberi tumpuan kepada rawatan secara sulit dan berkesan dalam kesihatan lelaki serta kesejahteraan seksual dan ketidakseimbangan hormon.
“Dengan cawangan yang telah ditubuhkan di seluruh Malaysia, misi kami adalah untuk menyediakan rawatan berkualiti tinggi, sulit dan mudah diakses oleh lebih ramai lelaki. Setiap cawangan dikendalikan oleh doktor bertauliah dan profesional terlatih yang komited dalam menyampaikan rawatan yang mengutamakan keselesaan, privasi dan keberkesanan,” katanya.
Katanya, kewujudan He Medical Clinic bermula dengan pengetahuan bahawa perkhidmatan kesihatan lelaki masih kurang ditawarkan lebih-lebih lagi di Malaysia.
