TECHON 2025 kongsi idea AI, TVET, tenaga boleh diperbaharui

KUCHING: Persidangan Antarabangsa Teknologi dan Inovasi Kelapan (TECHON) 2025 diharap membina jambatan merentasi disiplin, institusi serta negara.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, ini kerana TECHON 2025 menghimpunkan pelbagai pihak untuk berkongsi idea, penyelidikan dan amalan terbaik.

Katanya, ini melalui tiga tonggak iaitu Kecerdasan Buatan (AI), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta Tenaga Boleh Diperbaharui.

“Mari kita gunakan platform ini untuk mengemukakan soalan kritikal, mencabar pemikiran konvensional dan membina jambatan merentasi disiplin, institusi serta negara,”katanya ketika merasmikan persidangan terbabit, di sini, hari ini.

Roland Sagah juga meminta platform terbabit digunakan bagi saling memberi inspirasi memimpin dengan tujuan yang jelas dan bekerjasama dalam mengejar Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine.