BINTULU: Special Olympics Bintulu Chapter mengadakan Program Healthy Athletes Programme (HAP) di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua, di sini, hari ini.
Program HAP menyediakan pemeriksaan kesihatan komprehensif kepada atlet anak-anak berkeperluan khas, meliputi penglihatan, pendengaran, tekanan darah, berat badan dan pergigian.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah sehubungan itu menggesa agar semua cabang Special Olympics di Sarawak mengikut jejak Special Olympics Bintulu Chapter yang mengadakan HAP.
“Sekiranya tiada saringan dibuat hari ini, ramai daripada atlet ini akan meneruskan kehidupan mereka tanpa mengetahui masalah kesihatan,” katanya dalam sidang media selepas meninjau program itu.
Beliau turut menyarankan ibu bapa, penjaga dan masyarakat mendorong penyertaan anak-anak berkeperluan khas dalam Special Olympics dan HAP.
