Keluarga benteng pertama banteras penyalahgunaan dadah

SIBU: Keluarga merupakan benteng dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah, tegas Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee.

Katanya, pencegahan terhadap gejala itu seharusnya bermula dari rumah menyaksikan ibu bapa memainkan peranan penting melindungi anak-anak daripada menjadi mangsa atau pelaku penyalahgunaan dadah.

“Tanggungjawab ini bermula daripada ibu bapa sendiri, bukan hanya mengharapkan pihak luar,” katanya semasa berucap Program Madani Komuniti Sejahtera Bebas Dadah, di sini semalam.

Beliau turut menegur tindakan segelintir keluarga yang sanggup melindungi anak mereka daripada tindakan undang-undang walaupun mengetahui penglibatan mereka dalam penyalahgunaan dadah.

“Ibu bapa perlu diberi kaunseling supaya mereka menerima hakikat bahawa anak mempunyai masalah dan diberikan panduan untuk menangani isu tersebut,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Dr Annuar menegaskan perlunya kerjasama erat dengan agensi berkaitan bagi memastikan strategi pencegahan yang mantap dapat dilaksanakan.

“Isu dadah bukan sahaja masalah individu tetapi sebahagian daripada jenayah terancang, justeru langkah pencegahan yang lebih berkesan perlu difikirkan sebelum masalah menjadi lebih serius,” tegasnya lagi.