DARO: Peruntukan sejumlah RM395,500 disalurkan kepada pelbagai penerima di seluruh kawasan Parlimen Igan dalam usaha memperkukuh komitmen terhadap pembangunan komuniti.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi menyalurkan Dana Peruntukan Mengurus Kawasan Parlimen itu kepada pelbagai penerima di Pusat Khidmat Igan, semalam.
Ia bertujuan memperkukuh fungsi organisasi tempatan dalam melaksanakan pelbagai program pembangunan masyarakat.
“Sumbangan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk memastikan semua lapisan masyarakat di Parlimen Igan mendapat manfaat daripada peruntukan yang disediakan.
“Langkah ini bagi memperkukuh aspek pendidikan, keagamaan, sosial, dan pembangunan komuniti secara menyeluruh,” katanya.
Beliau turut menzahirkan harapan agar setiap pihak yang menerima dana ini dapat menguruskan peruntukan dengan berkesan demi kepentingan dan kesejahteraan masyarakat.
Sumbangan ini sekali lagi membuktikan kepimpinan Ahmad Johnie berpaksikan prinsip mendahulukan rakyat, dengan memastikan pembangunan komuniti di Parlimen Igan terus bergerak maju dan lestari.
Antara penerima dana adalah Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Cawangan Daro, serta Jawatankuasa Masjid dan Surau.
