KUCHING: Larian Isthmus Sarawak Energy 2025 yang memasuki edisi ke-10 berjaya menarik penyertaan kira-kira 6,000 peserta yang berlangsung di Menara Sarawak Energy di sini, hari ini.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) Dato Sri Julaihi Narawi merasmikan larian itu dengan kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Sharbini Suhaili.
Larian itu turut disertai 14 negara luar termasuk Malaysia bertujuan mengumpul dana sebanyak RM360,000 untuk disalurkan kepada 12 pertubuhan amal di seluruh Sarawak.
Mereka adalah Kuching Autistic Association (KAA), Sarawak Society for the Blind, Sarawak Society for the Deaf (SSD), Sarawak Women for Women Society (SWWS), Sibu Autistic Association (SAA), Association for Children with Special Needs Sibu (ACSNS), Sibu Community Services Association (SCSA), Miri Methodist Children’s Home, Miri Home for the Aged, PERYATIM Bintulu, Yayasan Dee Hati dan Sibu Methodist Care Centre.
Sementara itu, Julaihi turut memuji usaha Sarawak Energy yang terus memperagakan tanggungjawab mereka melangkaui peranan sebagai penyedia tenaga utama di Sarawak.
Beliau juga memuji peserta larian yang melakukan larian sejauh 5km, 10km, 21km atau maraton 42km penuh.
“Penyertaan anda mencerminkan komitmen bersama ke arah Sarawak yang lebih sihat, lebih aktif dan lebih bersatu,” tambahnya.
