Upacara naik Bendera Ibu Pertiwi, mercu tanda bandar raya

KUCHING: Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki menyempurnakan Majlis Menaikkan Bendera Ibu Pertiwi bagi edisi Ogos di Dataran Ibu Pertiwi di sini pagi tadi.

Majlis dimulakan dengan Pemeriksaan Pasukan Kawalan Kehormatan dari Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) disusuli nyanyian lagu kebesaran Sarawak ‘Ibu Pertiwiku’ serentak dengan upacara menaikkan bendera.

Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, isteri Datuk Amar Mohamad Abu Bakar, Datin Amar Baduyah Bujang, Datuk Bandar DBKU Dato’ Hilmy Othman serta dif-dif kenamaan lain.

Selepas persembahan pancaragam, majlis simbolik itu diteruskan dengan persembahan kebudayaan memaparkan keseniaan dan kekayaan budaya serta kaum di Sarawak.

Bendera Ibu Pertiwi sepanjang 25 meter (m) dan selebar 12.5 meter antara mercu tanda utama Kuching, susulan tiang benderanya setinggi 99 meter merupakan yang tertinggi di Asia Tenggara dan dicatatkan dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

GAMBAR: DBKU