Program pembuatan sabun, lilin inisiatif Waste to Wealth di Kampung Baru

SAMARAHAN: Sebanyak 40 peserta daripada komuniti setempat menyertai program latihan pembuatan sabun dan lilin di Kampung Baru, di sini, hari ini.

Program terbabit di bawah inisiatif Waste to Wealth: Empowering Communities Through Green Innovation mendedahkan peserta kepada teknik praktikal menghasilkan produk berkualiti dan berpotensi dipasarkan.

Peserta dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu 20 orang bagi latihan pembuatan sabun botani yang dikendalikan oleh Ummu Aqilah Makshut.

Manakala, 20 orang lagi untuk latihan pembuatan lilin aromaterapi yang dibimbing oleh Dr. Vannessa Lawai.

Pengetahuan peserta bukan sahaja membuka ruang untuk menjana pendapatan, malah turut membantu mengurangkan pembaziran dengan memanfaatkan bahan buangan seperti minyak masak terpakai.

Program ini diharap dapat melahirkan usahawan mikro baharu dalam kalangan komuniti, seterusnya menyokong usaha kelestarian alam sekitar dan pembangunan ekonomi.