Pelaksanaan PCDS 2030 beri manfaat pada rakyat

TANJUNG MANIS: Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS 2030) bukan sekadar dokumen dasar, sebaliknya merupakan pelan tindakan komprehensif yang memerlukan penglibatan menyeluruh serta sokongan padu daripada masyarakat.

Menurut Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh, kerajaan negeri komited memastikan tiada golongan tercicir melalui pelaksanaan PCDS 2030 yang berteraskan kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam.

Dalam hal ini tegasnya, penglibatan belia, usahawan dan komuniti akar umbi penting bagi memastikan transformasi digital Kerajaan Sarawak memberi manfaat menyeluruh ke arah masyarakat maju, inklusif dan berinovasi menjelang 2030.

“PCDS 2030 berteraskan tiga tunjang utama iaitu Kemakmuran Ekonomi, Keterangkuman Sosial dan Kelestarian Alam Lestari.

“Kejayaan pelan ini memerlukan semua pihak berganding bahu supaya manfaat pembangunan dapat dinikmati secara adil oleh semua tanpa mengira latar belakang,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penangguhan Program Jangkauan Setiausaha Politik di Dewan Kompleks Industri Perabot (IKS) Tanjung Manis, semalam.

Program tersebut bertujuan menyampaikan dasar-dasar serta inisiatif kerajaan melalui taklimat dan ceramah kepada peserta, selain memberi pendedahan jelas mengenai strategi jangka panjang negeri ke arah mencapai status negeri termaju menjelang 2030.

Hadir sama Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman, Ahli Parlimen Tanjong Manis, Yusuf Abd Wahab serta Setiausaha-setiausaha Politik Premier Sarawak.