KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bakal merasmikan asrama baharu Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) pada September ini.
Perkara itu dikongsikan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn selepas melakukan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak di Kompleks Satria Pertiwi, di sini, hari ini.
“Tujuan utama kami melakukan kunjungan homrat ini untuk menjemput beliau ke majlis makan malam ulang tahun ke-70 DBNA dan pada masa sama merasmikan pembukaan asrama DBNA. Projek itu dibina menggunakan geran yang diberikan Kerajaan Sarawak melalui Premier Sarawak,” katanya.
Menurut Sagah, pertemuan tersebut turut membincangkan beberapa perkembangan terkini berkaitan projek pembangunan di kawasan Kuching, Bau dan Serian.
Hadir sama ialah Presiden DBNA Datu Ik Pahon Joyik, Timbalan Presiden DBNA Dr Charlie Ungang, Timbalan Menteri Pengangkutan (Laut & Sungai) Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru Dato Henry Harry Jinep, Ahli Parlimen Serian Dato Sri Richard Riot Jaem, Ahli Parlimen Puncak Borneo Datuk Willie Mongin, ADUN Serembu Miro Simuh, ADUN Bukit Semuja John Ilus, ADUN Tebedu Dr. Simon Sinang Bada dan ADUN Opar Billy Sujang.
Terdahulu, Abang Johari menerima kunjungan hormat daripada Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata dan Ketua Cawangan Khas (KCK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak SAC Mohd Taufik Abdullah.
