TOKYO: Kerajaan Sarawak meneroka peluang untuk bekerjasama dengan syarikat dari Jepun, NEC Corporation dalam sektor ekonomi digital dan hijau.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kerjasama ini akan memacu transformasi digital dan pertumbuhan mampan, khususnya dalam bidang kerajaan digital, penerbangan serta keselamatan siber.
Berucap di NEC Super Tower semalam, beliau menegaskan komitmen Sarawak untuk membangunkan ekonomi berasaskan sumber boleh diperbaharui, mesra alam dan dipacu teknologi.
“Visi kami adalah membina ekonomi berdaya tahan, inklusif dan dipacu inovasi, disokong oleh tenaga bersih, infrastruktur digital canggih dan bakat berkemahiran tinggi.
“Kerjasama dengan peneraju teknologi global seperti NEC dapat membantu merealisasikan matlamat. Ini sekali gus memberi manfaat kepada pelabur dan komuniti tempatan melalui penciptaan pekerjaan, pemindahan teknologi serta limpahan ekonomi,” ujar beliau.
Beliau menekankan bahawa kerjasama sektor awam-swasta dan pelaburan bersasar dalam bidang seperti kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber, reka bentuk litar bersepadu dan perkhidmatan digital merupakan pemacu utama dalam menjayakan strategi pembangunan Sarawak.
Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) turut mengalu-alukan NEC untuk meneroka peluang pelaburan strategik dalam bidang digital dan kelestarian di Sarawak.
“Perjalanan kita menuju Sarawak yang maju dan lestari menjelang 2030 adalah peluang bersama.
“Dengan kepakaran NEC dan visi kita, kita mampu mencipta nilai berkekalan untuk pelabur, komuniti dan alam sekitar,” katanya.
