Guna konsep IBS baik pulih sekolah daif

KUALA LUMPUR: Seorang wakil rakyat dari Sarawak mencadangkan supaya kerajaan menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) bagi menggantikan sekolah daif untuk menjimatkan masa, kos dan tenaga kerja.

Ahli Parlimen Tanjung Manis, Yusuf Abdul Wahab berkata, keadaan sekoloah daif di kawasannya yang kebanyakannya berusia lebih setengah abad memerlukan perhatian segera kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan.

“Kebanyakan sekolah terbabit dibina daripada kayu dan papan yang kini sudah uzur, menyebabkan kerja-kerja pembaikan perlu dilakukan dengan kerap,” katanya semasa membahas Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) pada persidangan Parlimen di sini, semalam.

Beliau berkata, keadaan ini bukan sahaja membebankan pihak sekolah, malah turut mengganggu proses pembelajaran murid.

Antara sekolah yang dikategorikan sebagai sangat daif dan memerlukan tindakan segera ialah SK Mohd Redeh, SK Telok Gelam, SK Kpg Kut, SK Bakerkong, SK Kpg Betanak, SK Kpg Tekajong, SK Kpg Penipah, SK Kpg Bruit, SK Mupong, SK Mupong Ulin, SK Bayang dan SK Stalun, tegas beliau.

Yusuf turut menekankan keperluan mempercepatkan pembinaan semula SK Orang Kaya Muda Pakeri Paloh yang telah diisytiharkan tidak selamat akibat kerosakan struktur.

Peruntukan sedia ada berjumlah RM28 juta didapati tidak mencukupi, memerlukan tambahan RM10 juta melalui proses Notice of Change (NOC) yang dijangka memakan masa lama, katanya.

Beliau turut mencadangkan agar pembinaan dimulakan segera menggunakan dana sedia ada sementara menunggu kelulusan tambahan.

Selain itu, beliau turut membangkitkan isu projek pembinaan baharu SK Penibong yang terbengkalai sejak selepas pandemik Covid-19, mengakibatkan gangguan kepada sesi persekolahan.

Yusuf yang menyokong pembentangan RMK13 itu berharap semua pihak dapat bekerjasama memastikan kejayaannya demi masa depan negara, khususnya pendidikan generasi muda di luar bandar.