LINGGA: Pembinaan Jambatan Batang Lingga dijangka siap sepenuhnya pada September ini.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Ir Aidel Lariwoo berkata, pembinaan jambatan terbabit kini mencapai kemajuan 99 peratus.
Katanya, jambatan itu akan dihubungkan dengan Jambatan Batang Lupar melalui pembinaan jalan sejauh 28 kilometer (km) dan dengan Jambatan Batang Lupar 2 di Sri Aman dengan pembinaan jalan melibatkan jarak kira-kira 35 km.
“Kini kerja pembinaan jalan dari Jambatan Batang Lupar ke Jambatan Lingga seterusnya ke Jambatan Batang Lupar 2 di Sri Aman sedang giat dijalankan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa lawatan kerja ke tapak projek Jambatan Lingga di sini.
“Keseluruhan projek ini merupakan sebahagian daripada rangkaian jalan pesisir dan Jalan Utama Kedua yang bermula dari Jambatan Sejingkat sehingga ke Simpang Betong/Lidong,” tambahnya.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili Dr Johnical Rayong, Jurutera Bahagian JKR Sri Aman Lenny Busuri, Pegawai Daerah Lingga Frank Lani.
