KUCHING: Sarawak mengukuhkan kedudukan sebagai hab acara berskala besar apabila penganjuran konsert, festival dan persidangan mencatat kesan limpahan ekonomi mencecah lebih RM1 bilion setiap bulan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penganjuran acara hiburan seperti Rock in The Jungle 2.0 bukan sahaja menarik peminat tempatan, malah pelancong dari Brunei, Kalimantan Barat, Singapura dan Semenanjung Malaysia.
“Kehadiran mereka menggerakkan sektor hotel, restoran dan pengangkutan, selain memberi manfaat kepada peniaga tempatan melalui jualan cenderamata seperti kek lapis dan ikan terubuk masin,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Rock In The Jungle (RITJ) 2.0 di sini, hari ini.
Beliau yakin sasaran lima juta pelawat ke Sarawak tahun ini mampu dicapai dengan sokongan acara berskala besar dan penerbangan terus dari beberapa bandar utama serantau.
Menurutnya, dana yang disalurkan kerajaan kepada penganjur memberi pulangan berlipat ganda kerana sektor pelancongan turut membayar cukai dan menghidupkan rantaian industri lain.
