KUALA LUMPUR: Program peralihan tajaan Yayasan Nippon berjaya membantu tiga kanak-kanak dari Pusat Intervensi Awal Sehenti (OSEIC) Sarawak untuk memulakan persekolahan di tadika swasta lebih awal daripada jangkaan.
Kanak-kanak tersebut ialah Muhammad Rayyza Iman Mohd Yushahrizam (Tadika Perdana Sentosa), Mohammad Raygal Hazig Mohammad Rhyzan Fadzli (Tadika Kurnia) dan Ayra Alisha Abdullah (Tadika Puncak Ilmu).
Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (KPWK), Dato Sri Fatimah Abdullah, program ini membolehkan kanak-kanak tersebut belajar bersama rakan sebaya dalam persekitaran inklusif.
“Program ini menyediakan peluang kepada kanak-kanak untuk berkembang dalam persekitaran pembelajaran inklusif sekali gus membina keyakinan diri, kemahiran sosial dan tahap berdikari.
“Selain itu ia memberi ruang intervensi awal di OSEIC untuk kanak-kanak lain dalam senarai menunggu yang memerlukan sokongan segera.
“Kita telah melihat bahawa dengan sokongan yang betul, kanak-kanak dapat menyesuaikan diri, berkembang, dan mengejutkan kita dengan pencapaian mereka,” katanya semasa hadir bagi menyerahkan surat penghargaan kepada wakil The Nippon Foundation, Makoto Wada di TOY Eight Playground, The Gardens Mall di sini hari ini.
Surat penghargaan itu sebagai tanda terima kasih atas pembiayaan dan sokongan terhadap projek rintis ini.
Menurut Fatimah, program peralihan ini dilaksanakan bersama pihak TOY8, yang menilai kesediaan kanak-kanak untuk ke sekolah melalui saringan perkembangan dan pemerhatian pakar.
Lebih 300 kanak-kanak di Sarawak menjalani saringan perkembangan dengan intervensi khusus sepanjang tahun 2024, yang membantu dalam mengurangkan kelewatan perkembangan dalam tempoh enam bulan.
Susulan kejayaan itu, program tersebut diperluaskan pada 2025 bagi memberi manfaat kepada 600 kanak-kanak di lebih banyak kawasan di Sarawak. – UKAS
