ABU DHABI: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg tiba di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi memulakan lawatan kerja rasmi selama empat hari.
Pesawat khas membawa beliau bersama delegasi Kerajaan Sarawak tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Zayed kira-kira jam 1.50 petang waktu tempatan dan disambut oleh Duta Besar Malaysia ke UAE, Tengku Dato’ Sirajuzzaman Tengku Mohamed Ariffin.
Mengiringi Premier ialah, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni.
Turut serta Pengerusi Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) Tan Sri Datuk Amar Hamid Bugo, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Dato Husain, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan SEB Datuk Sharbini Suhaili, serta pegawai-pegawai tertinggi kerajaan negeri.
Premier Sarawak akan memulakan rangka kerjanya pada Selasa dengan mengunjungi Bandaraya Masdar, yang dijana sepenuhnya oleh tenaga solar, terletak kira-kira 30 kilometer (km) dari Abu Dhabi.
Beliau kemudiannya menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Sarawak Energy Berhad (SEB), Abu Dhabi Future Energy Company (PSJC) dan Gentari.
Kerjasama strategik ini memberi tumpuan meneroka potensi untuk membangunkan projek solar terapung photovoltaic (PV) terbesar di dunia, dengan kapasiti hingga 1 gigawatt di Empangan Murum.
Pada Rabu, Premier Sarawak dijadual menghadiri Pameran dan Persidangan Petroleum Antarabangsa Abu Dhabi (ADIPEC) 2024 di Pusat ADNEC di sini.
Beliau juga akan menyertai sesi perbincangan tumpuan berkenaan Peranan Asia Dalam Menentukan Pasaran Hidrogen bersama beberapa panel jemputan lain.
Pada sebelah petang, Premier Sarawak dijadual menyaksikan pemeteraian perjanjian antara Sarawak Forestry Corporation (SFC) dan Mubadala Energy.
Perjanjian itu untuk Mubadala Energy membantu mempromosikan pemuliharaan, perlindungan, penjanaan semula dan peningkatan biodiversiti.
Premier Sarawak akan mengakhiri rangka kerjanya dengan mengadakan pertemuan bersama barisan Eksekutif Mubadala Energy yang diketuai CEO merangkap Pengarah Urusannya, Sheikh Mansoor Mohamed Al Hamed.
Ia membincangkan mengenai Hala Tuju Gas Sarawak dan peluang pelaburan Mubadala Energy di Sarawak.
Beliau bersama delegasi dijangka berangkat pulang ke Sarawak pada 8 November ini.
