KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) mencadangkan supaya Kementerian Pendidikan memperluaskan peranan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPN) dalam mempercepatkan proses pengambilan guru baharu dan pengisian jawatan kosong.
Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong berkata, di Lawas dari segi tenaga pengajar terdapat 74 kekosongan jawatan guru dan kebelakangan ini terdapat dua kekosongan Pengetua iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Trusan dan SMK Sundar.
“Terdapat 35 sekolah rendah dan empat sekolah menengah,” katanya semasa mengadakan perjumpaan dengan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di pejabatnya, di bangunan Parlimen, di sini.
Henry Sum juga memohoan supaya guru-guru yang sudah berkahwin seharusnya tidak dipisahkan antara satu sama lain.
“Contohnya suami mengajar di Lawas dan isteri mengajar di Semenanjung dan sebaliknya kerana ini akan menjejaskan prestasi guru terbabit,” tegas beliau.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi turut membangkitkan isu sama ‘guru duka lara’.
Dalam pada itu, beliau juga memohon agar Kementerian Pendidikan mengambil tindakan perlu ke atas kebanyakan bangunan sekolah dalam keadaan daif khususnya dibina sekitar tahun 30-an dan 40-an dengan bangunan konkrit.
Sebuah bangunan pentadbiran SMK Lawas yang musnah terbakar baru-baru ini yang bahan binaannya sebahagian daripada kayu dan tidak tahan lama berbanding bangunan konkrit, katanya.
Di samping itu, beliau mencadangkan agar Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Siang-Siang yang sering dilanda banjir dipindahkan ke suatu kawasan yang tinggi.
