Abang Johari Yang Dipertua baharu PERKIM, Tun M penasihat khas

KUALA LUMPUR: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dilantik sebagai Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) baharu pada Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Kebangsaan Kali Ke-64 yang berlangsung di ibu negara hari ini.

Abang Johari menggantikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang memegang jawatan tersebut sejak 2006 dan kini memegang jawatan sebagai Penasihat Khas PERKIM.

Dalam ucapannya semasa Upacara Khas Penyerahan Kepimpinan Baharu PERKIM, Abang Johari merakamkan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan serta berikrar untuk memikul tanggungjawab tersebut sebaik mungkin.

Beliau turut mengakui bahawa kepimpinan Tun Dr. Mahathir sebelum ini telah membawa PERKIM ke tahap yang membanggakan dan menjadi teladan dalam perjuangan dakwah serta kebajikan.

“Meneruskan legasi yang ditinggalkan ini bukan satu tugas yang mudah namun dengan sokongan padu daripada semua peringkat, saya yakin kita mampu memperkasakan lagi peranan PERKIM dalam landskap dakwah moden,” katanya.

Beliau malah menekankan keperluan untuk PERKIM kekal lantang dan aktif dalam memperjuangkan nasib umat Islam, khususnya dalam isu global seperti konflik yang berlaku di Gaza.

“PERKIM harus kekal vokal dan aktif dalam menyatakan pendirian serta membela nasib saudara seagama melalui pendekatan berkesan dan berhemah,” ujar beliau.

Menyentuh perkara lain, Abang Johari berkata aset wakaf berpotensi menjadi pemangkin ekonomi umat Islam sekiranya diurus secara sistematik dan berlandaskan syariat.

Kaanya, konsep kebajikan dalam Islam perlu diperluas melebihi bantuan segera, dengan memberi tumpuan kepada pengurusan harta wakaf sebagai sumber pendapatan jangka panjang yang berkat dan mampan.

“Kalau kita lihat masyarakat Islam di Malaysia, mereka mempunyai aset. Aset wakaf ini harus diurus dengan baik menurut syariat Islam kerana ia mampu memberi pulangan ekonomi besar kepada masyarakat Islam, selain ganjaran dari Rasulullah,” jelasnya.

Ke arah itu, beliau akan mengadakan perbincangan bersama kepimpinan PERKIM bagi merangka pendekatan terbaik menguruskan aset dan kebajikan umat secara holistik.

Beliau turut menekankan keperluan memperkasa pendidikan teknikal dalam kalangan generasi muda Islam agar mereka lebih bersedia menyertai ekonomi baharu.

“Di Sarawak, kita telah membangunkan pelbagai sudut pendidikan teknikal untuk anak-anak Islam. Saya mahu dasar latihan ini dibincangkan di peringkat kebangsaan agar selaras dengan keperluan ekonomi semasa,” ujarnya.