KUCHING: Hari kelepasan gantian perayaan Gawai Dayak di Sarawak berdasarkan Ordinan Buruh Sarawak adalah pada 3 dan 4 Jun ini.
Ini berikutan 1 Jun ini adalah hari Ahad yang merupakan hari rehat pekerja manakala Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong pada 2 Jun ini dan bertindih hari kelepasan perayaan Gawai Dayak.
Menurut kenyataan media Jabatan Tenaga Kerja Sarawak, menurut Seksyen 104(1) Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76), Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong merupakan hari kelepasan yang wajib diberikan kepada pekerja dan tidak boleh diganti dengan hari lain.
Selain itu, Seksyen 104(1) Ordinan turut memperuntukkan bahawa jika mana-mana hari kelepasan jatuh pada hari rehat pekerja, maka hari bekerja yang berikutnya hendaklah dijadikan hari kelepasan gantian.
“Maka 3 Jun 2025 hendaklah dijadikan hari kelepasan Gawai, manakala 4 Jun 2025 dijadikan sebagai hari kelepasan kedua Gawai,”menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, tarikh gantian ini boleh diubah kepada hari lain melalui persetujuan bersama antara majikan dan pekerja, selaras dengan seksyen l104(2) Ordinan yang sama.
