KUALA LUMPUR: Dalam usaha memperkukuh dasar dan program berkaitan kesamarataan gender, Sarawak merancang untuk menjalin kerjasama strategik dengan Tabung Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA).
Ia dinyatakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah semasa lawatan delegasi ke pejabat UNFPA Malaysia di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Menurutnya, kerjasama itu dilihat seiring dengan penubuhan Unit Kesamarataan Gender yang baharu ditubuhkan di Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak.
“Kita melihat potensi untuk bekerjasama dengan UNFPA, khususnya dalam isu kesihatan reproduktif, pencegahan keganasan berasaskan gender serta penghapusan amalan berbahaya seperti perkahwinan kanak-kanak,” ujar beliau.
Dalam sesi taklimat, delegasi Sarawak diberikan penerangan oleh Wakil Negara UNFPA Malaysia, Dr. Julitta Onabanjo dan Penolong Wakil UNFPA, Tengku Aira Tengku Razif berkenaan program yang dilaksanakan UNFPA di lebih 150 negara.
Sebelum itu, Fatimah turut menghadiri Sambutan Ulang Tahun ke-10 30% Club Malaysia yang diadakan di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
Malaysia kini mencatatkan 33% perwakilan wanita dalam lembaga pengarah 100 syarikat tersenarai awam utama iaitu satu pencapaian yang diletakkan sebagai penanda aras global.
Fatimah menyifatkan kejayaan tersebut sebagai bukti bahawa komitmen berterusan dan kerjasama pelbagai pihak mampu mengangkat penyertaan wanita ke tahap yang lebih tinggi.
