41 bakal jemaah haji Limbang, Lawas berangkat ke tanah suci

KUCHING: Seramai 41 bakal jemaah haji dari kawasan Lawas dan Limbang menerima sumbangan ikhlas daripada Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan sebagai tanda sokongan dan doa restu sebelum berangkat menunaikan rukun Islam kelima.

Majlis penyampaian sumbangan tersebut disempurnakan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Awangku Jinal Dato Pengiran Jawa yang mewakili Datuk Amar Awang Tengah di Raia Hotel, di sini.

Sumbangan ini disampaikan untuk membantu jemaah dari kawasan Lawas dan Limbang.

Dalam ucapannya, Awangku Jinal menyampaikan salam dan doa Awang Tengah yang berharap agar semua jemaah dari Lawas dan Limbang dikurniakan kesihatan yang baik, dipermudahkan segala urusan, serta mendapat haji mabrur.

“Datuk Amar amat menekankan pentingnya kebersamaan dan sokongan moral kepada bakal jemaah, kerana ibadah ini bukan sahaja memerlukan kekuatan fizikal, tetapi juga sokongan moral dari keluarga dan masyarakat Islam, khususnya,” katanya.

Majlis turut diserikan dengan bacaan doa selamat dan nasihat ringkas daripada pegawai agama berkenaan persiapan akhir sebelum berangkat ke Mekah.