Ibu bentuk sahsiah, nilai murni anak – TYT

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengajak rakyat di negeri ini menghargai pengorbanan insan yang bergelar ibu.

Tun Dr Wan serta Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menyifatkan pengorbanan seorang ibu amat signifikan terutamanya dalam membentuk sahsiah, karakter serta nilai-nilai murni dalam diri anak-anak.

“Melalui asuhan dan kasih sayang seorang ibu, lahirlah individu berilmu, berintegriti, berdaya saing yang mampu memimpin negara ke arah kemajuan dan kesejahteraan.

“Sejarah membuktikan bahawa di setiap pemimpin yang hebat, ada seorang ibu yang menjadi sumber kekuatan dan inspirasi. Rumah tangga merupakan madrasah pertama, dan ibu adalah pendidik utama dalam membentuk acuan anak-anak.

“Justeru, saya dan Toh Puan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua ibu atas jasa dan pengorbanan mereka yang tidak ternilai,” ujar beliau dalam perutusan sempena sambutan Hari Ibu 2025 hari ini.

TYT dan Toh Puan juga menyifatkan sambutan Hari Ibu yang disambut seluruh dunia pada 11 Mei setiap tahun sebagai wadah untuk mengenang jasa ibu terutamanya dalam membentuk sahsiah, karakter serta nilai-nilai murni dalam diri anak-anak.

Dalam kesempatan itu, beliau turut menggesa masyarakat hari ini agar terus menghargai jasa ibu masing-masing bukan hanya pada hari istimewa ini, tetapi sepanjang hayat mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *