KUCHING: Kadar bayaran doktor swasta di negeri ini wajar dipertimbang semula agar sepadan dengan pengorbanan, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
Katanya, kadar bayaran pada hari ini adalah kenaikan pada 1982, terlalu rendah berbanding pekerjaan lain yang telah menerima kenaikan gaji minimum beberapa kali dalam tempoh tersebut.
“Kadar bayaran doktor swasta sebenarnya tidak pernah dinaikkan, sejak 1982 dan bayaran untuk doktor-doktor kanan juga tidak berubah sejak tahun yang sama.
“Jadi, adakah anda sanggup bekerja dengan kadar gaji yang ditetapkan pada 1982? Sebab itu saya telah menyuarakan perkara ini kepada Menteri Kesihatan, dan beliau telah berjanji untuk meneliti isu ini.
“Kalau kita lihat, berapa kadar gaji minimum pada 1982? Dan berapa pula kadar gaji minimum sekarang?
“Mengapa pula doktor yang telah berkorban bertahun-tahun, menempuh latihan yang sukar, belajar bersungguh-sungguh, dan bekerja tanpa mengira masa, masih lagi dibayar mengikut kadar tahun 1982?,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pembukaan Klinik Perubatan Valiant, di Batu Kawa, di sini, hari ini.
Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak menambah, peningkatan kadar bayaran ini secara tidak langsung akan menarik lebih ramai doktor yang mempunyai bakat untuk berkhidmat di tanah air setelah tamat pengajian mereka.
“Oleh itu, kami akan berusaha sedaya upaya untuk membantu anda dan kami sedang berjuang demi kepentingan anda,” ujar beliau.
Tegasnya, beliau akan terus berbincang dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar kenaikan ini dapat dipertimbangkan.
