BINTULU: Program Ngerandang Jalai Gawai Dayak Bintulu 2025 wajar diketengahkan peringkat nasional dan antarabangsa sebagai produk pelancongan.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Majang Renggi berkata ini bagi perarakan kebudayaan mengelilingi bandar Bintulu sejauh tiga kilometer itu menarik kedatangan pelancong ke Bintulu.
“Perarakan ini bukan sahaja menyemarakkan semangat Gawai, tetapi juga mampu menarik pelancong untuk mengenali keunikan budaya kita,”katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan program perarakan terbabit di Dewan Suarah Bintulu di sini, hari ini.
Lebih 1,000 peserta lengkap dengan pakaian tradisional daripada 17 kontinjen mewakili NGO, persatuan, agensi dan jabatan kerajaan sekitar Bintulu menyertai perarakan persembahan kebudayaan itu.
Sementara itu, Pengerusi Penyelaras Program merangkap Pengerusi Persatuan Pembangunan Dayak (Bangun) Bintulu, Thwaites Langak berkata program ini merupakan antara pengisian utama Pasar Gawai Dayak Bintulu 2025 dari 1 hingga 23 Mei.
