KUCHING: Kongres Kesihatan Pekerjaan Asia ke-24 (ACOH 2026) menghimpunkan pakar, profesional dan pemegang taruh serantau bagi memperkukuhkan keselamatan serta kesejahteraan pekerja.
Kongres Kesihatan Pekerjaan Asia ke-24 (ACOH 2026) menjadi platform perkongsian ilmu dan pengalaman dalam menangani cabaran baharu berkaitan kesihatan serta keselamatan pekerjaan, termasuk risiko industri, transformasi digital dan teknologi rehabilitasi.
Dalam teks ucapan Premier Sarawak yang dibaca Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, beliau menzahirkan penghargaan kepada penganjur, rakan strategik, penaja serta semua delegasi yang menjayakan kongres berkenaan.
“Kuching bukan sekadar menjadi bandar tuan rumah kongres ini, tetapi menjadi medan pertemuan bagi mereka yang berkongsi matlamat sama iaitu meningkatkan kehidupan pekerja melalui pertukaran idea, pandangan dan pengalaman,” katanya semasa berucap pada Majlis Makan Malam Gala ACOH 2026 di sini, malam ini.
Beliau berkata, kemajuan ekonomi dan perubahan cara bekerja perlu mengambil kira golongan yang kurang mendapat perhatian termasuk pekerja sektor tidak formal, pekerja gig serta pekerja migran, dengan setiap pekerja berhak menikmati perlindungan, maruah dan peluang bekerja dalam persekitaran selamat.
Menurutnya, kesihatan yang baik bukan tanggungjawab satu pihak sahaja sebaliknya memerlukan kerjasama antara kerajaan, majikan, komuniti dan golongan profesional dalam memastikan tempat kerja lebih selamat serta kondusif.
“Dalam usaha Sarawak melaksanakan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030, kita bukan sahaja memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi, infrastruktur dan industri baharu, tetapi turut melabur dalam pembangunan insan supaya tiada golongan yang tercicir,” ujarnya.
Beliau berkata, penganjuran ACOH 2026 mengingatkan semua pihak bahawa setiap negara berkongsi tanggungjawab sama dalam melindungi mereka yang keluar bekerja setiap hari dengan harapan dapat pulang kepada keluarga dalam keadaan selamat.
