KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patnggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi jaminan berani meneruskan projek mega untuk dilaksanakan di Sarawak dalam tempoh lima tahun akan datang susulan ekonomi negeri berkembang dengan mantap.
Beliau berkata, selagi Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) utuh dan mendapat sokongan padu rakyat, beliau yakin dapat melaksanakannya dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Kejayaan diperoleh Sarawak dan nikmat kemajuan yang rakyat kecapi semasa pasca Covid-19 adalah hasil perjuangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Kerajaan GPS,” katanya merasmikan Mesyuarat Perwakilan Cawangan-Cawangan Parti PBB Zon Selatan 2025 di Pusat Konvensyen Bornoe Kuching (BCCK), di sini, hari ini.
Mesyuarat itu dihadiri oleh ahli-ahli parti dari 26 cawangan.
Turut hadir Timbalan-Timbalan Yang di-Pertua Parti, Datuk Amar Douglas Uggah dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Naib Yang di-Pertua Kanan yang juga Pengerusi Mesyuarat Perwakilan Parti PBB Zon Selatan, Dato’ Sri Fadillah Yusof dan Dato’ Sri Dr Stephen Rundi, Setiausaha Agung, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, ahli Majlis Tertinggi (MT) serta ketua pergerakan pemuda dan wanita, belia dan veteran.
Pengerusi Tetap Parti PBB, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar turut hadir.
Beliau yang juga Yang di-Pertua Parti PBB menegaskan, dalam memperjuangkan hak dan kemakmuran rakyat Sarawak, PBB dan GPS mengikut tatacara dalam Perlembagaan Malaysia.
Sambil memberi bayangan kawasan Tanjung Embang, Beliong, Asajaya hingga ke Sebuyau akan berada dalam kawasan di tengah-tengah pembangunan mampan dalam tempoh lima tahun datang, beliau berkata, kejayaan parti meletakkan Sarawak dalam kedudukan sekarang Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) hasil perjuangan ahli-ahli parti secara bersama.
“Parti PBB adalah wadah pergorbanan dan GPS wadah perjuangan,” tegas beliau dan menambah, perjalanan ahli-ahli parti sekarang sudah jauh dalam membantu rakyat.
Abang Johari menzahirkan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh ahli-ahli parti kerana membolehkannya untuk melaksanakan pendekatan mengikut cara baharu.
Untuk mencapai kejayaan, tegas beliau, rakyat mesti bersedia menerima perubahan dan langkahnya memperkenalkan ekonomi digital adalah sebagai permulaan untuk rakyat menerima perubahan itu.
Abang Johari juga berkata, sebagai sebahagian daripada usaha melatih anak Sarawak mahir dalam ilmu tenaga diperbaharui, kerajaan akan menubuhkan fakulti tenaga di Universiti i-CATS.
“Di Sarawak, kita mempunyai banyak sumber untuk melaksana program tenaga diperbaharui. Parti PBB dan GPS adalah wadahnya,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengajak ahli-ahli parti supaya terus berjuang dengan satu tekad, satu tujuan dan satu perjuangan.
“Marilah kita bersama-sama merapatkan barisan parti untuk memakmurkan Sarawak. Jika Sarawak makmur, Malaysia akan turut makmur,” katanya.
Pada majlis itu, Naib Yang di-Pertua PBB yang juga Ketua Cawangan Tarat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn membentangkan 10 usul daripada zon tersebut.
