Sarawak bakal wujudkan fakulti tenaga di Universiti i-CATS

KUCHING: Satu lagi jurusan baharu akan diwujudkan dalam bidang pendidikan iaitu penubuhan fakulti tenaga di Universiti i-CATS.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika mengumumkan perkara itu berkata, penubuhan fakulti itu seiring dengan matlamat Sarawak untuk menjadi peneraju dalam tenaga boleh diperbaharui.

“Saya ingin memberi maklum balas kepada Dato Sri Fadillah Yusof mengenai pengajaran tenaga boleh diperbaharui.

“Saya bersetuju dan kami akan membangunkan sebuah fakulti di Universiti i-CATS yang memfokuskan kepada tenaga yang mana akan melibatkan kerjasama dengan Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dalam pengajaran di i-CATS,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Mesyuarat Perwakilan Cawangan-Cawangan Parti PBB Zon Selatan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Yang di-Pertua Kanan Parti PBB, Dato’ Sri Fadillah Yusof mencadangkan agar Sarawak menubuhkan sebuah institusi khas berkaitan tenaga boleh diperbaharui di negeri ini bagi melatih dan melahirkan tenaga tempatan dalam bidang tersebut.

Abang Johari yang juga Yang di-Pertua Parti PBB menambah, pemilihan universiti tersebut untuk menerajui jurusan berkenaan bertepatan dengan inisiatif pendidikan percuma di negeri ini.

“Kenapa saya memilih Universiti i-CATS? Kerana ia adalah milik Sarawak dan keduanya, pemohon yang layak untuk memasuki fakulti tersebut akan diberi pendidikan percuma di universiti itu.

“Melalui inisiatif ini, kita akan melahirkan saintis dan pakar dalam bidang tenaga, termasuk gas,” tambah beliau.

Hadir sama Timbalan-Timbalan Yang di-Pertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Naib Yang di-Pertua Kanan parti, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Naib Yang di-Pertua Parti PBB Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Pengerusi Tetap Parti PBB Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Setiausaha Agung Parti, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Ketua Pergerakan Wanita dan Pemuda, Dato Sri Fatimah Abdullah dan Miro Simuh serta kenamaan lain.