“Kami berikrar tidak berganjak sokong Abang Jo” – Fadillah

KUCHING: Naib Yang di-Pertua Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato’ Sri Fadillah Yusof mengajak semua ahli dan pemimpin cawangan Zon Selatan berdiri teguh menyokong kepimpinan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Semua pemimpin 26 cawangan Zon Selatan yang berdiri ini bersama seluruh ahli-ahli Parti PBB di Zon Selatan membulatkan tekad, memperkukuhkan muafakat, akan terus bersama-sama, berdiri teguh menyokong kepimpinan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg,” katanya yang juga Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Mesyuarat Perwakilan Zon Selatan.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan Mesyuarat Perwakilan Cawangan-Cawangan Parti PBB Zon Selatan 2025 di Pusat Konvensyen Bornoe Kuching (BCCK), di sini, hari ini.

Perasmian mesyuarat dilakukan Yang di-Pertua Parti merangkap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Fadillah berkata mereka semua berikrar tidak akan berganjak dan akan terus bersama Yang di-Pertua Parti.

“Kamek (kami) orang semua berikrar dan sik akan berganjak (tidak berganjak) dan terus bersama Yang di-Pertua Parti.

“Kalau sidak (orang) Bidayuh cakap, sokong sampai ‘kobos’. Agi Idup Agi Ngelaban,” katanya sambil menerima tepukan gemuruh daripada lebih 2,000 perwakilan termasuk veteran.

Menurut Fadillah, beliau menjelaskan, ahli-ahli Parti PBB Zon Selatan juga sebulat suara meluluskan resolusi supaya jawatan Yang di-Pertua dan Timbalan Yang di-Pertua parti dikekal dan tidak dipertandingkan.

Selain itu, Fadillah turut mencadangkan supaya Yang di-Pertua Parti mempertimbangkan penubuhan sebuah institusi khas berkaitan tenaga baharu diperbaharui untuk anak-anak Sarawak.