ASSAR agih dividen 2.5 sen seunit

KUCHING: Amanah Saham Sarawak (ASSAR) hari ini mengumumkan pengagihan dividen interim sebanyak 2.5 sen seunit bagi Tahun Kewangan berakhir 30 Jun 2024.

Premier Sarawak, Datuk Patingg Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pengagihan julung kali pasca-penstrukturan semula ASSAR itu akan melibatkan pengagihan sebanyak RM11.71 juta kepada 57,613 pelabur, dikira berdasarkan baki pegangan unit pada 31 Disember 2023.

Pengagihan itu berdasarkan perolehan bagi tempoh enam bulan pertama Tahun Kewangan semasa, katanya pada sidang media mengumumkan pengagihan dividen interim ASSAR di sini.

Beliau berkata, pengagihan dividen interim itu amat memberangsangkan memandangkan Tabung ASSAR pasca-penstrukturan hanya siap dilaburkan sepenuhnya pada bulan Julai 2023 untuk mencapai perumpukan aset yang optimal selaras dengan mandat dan strategi pelaburan baharu ASSAR.

Menurut Abang Johari, setakat 31 Disember 2023 jumlah unit ASSAR telah meningkat daripada 100 juta unit pada awal pelancarannya kepada 468.35 juta unit, melibatkan penyertaan seramai 57,613 pelabur.

Kemampuan ASSAR untuk bertahan dan mengharungi segala cabaran yang melanda adalah hasil komitmen warga kerja Kumpulan Syarikat Permodalan ASSAR, termasuk ahli-ahliLembaga Pengarah,yang sentiasa memberikan yang terbaik untuk manfaat para pelabur ASSAR dan semua pihak berkepentingan, tegas beliau.

Pada tahun 2022, beliau berkata, Amanah Saham Sarawak Berhad iaitu Syarikat Pengurusan bagi Tabung Amanah Saham Sarawak (ASSAR) bersama syarikat induknya iaitu Permodalan ASSAR Sdn Bhd telah mengambil inisiatif untuk menstruktur semula ASSAR bagi memastikan kemampanan jangka panjang ASSAR.

Abang Johari menegaskan, antara perubahan utama yang telah diperkenalkan ialah meminda Objektif Pelaburan dan juga Dasar Pengagihan Pendapatan ASSAR di mana pengagihan pendapatan kepada pelabur akan dilakukan sekurang-kurangnya sekali bagi setiap Tahun Kewangan, bergantung pada tahap pendapatan bersih yang dijana oleh ASSAR.

Di samping itu, katanya, mekanisme jaminan harga minima RM1.00 seunit yang dikekalkan sebagai ciri utama ASSAR, telah diperbaharui dengan beberapa penambahbaikan dari segi pengoperasiannya.

Secara keseluruhannya, tegas beliau, penstrukturan semula itu merupakan pemangkin bagi meningkatkan potensi ASSAR untuk memberikannya permulaan baharu dengan asas modal yang lebih tinggi bagi membolehkan objektif pelaburan baharu dilaksanakan dengan jayanya.

“Langkah penstrukturan semula yang berjaya disempurnakan pada 21 Oktober 2022 telah mula membuahkan hasil. Buktinya, Nilai Aset Bersih (NAB) seunit ASSAR telah meningkat secara konsisten kepada RM1.0854 pada 31 Disember 2023, iaitu pertumbuhan sebanyak 8.54% sejak penstrukturannya,” katanya.

Hadir sama Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Setiausaha Kerjaaan Negeri, Datuk Amar Mohd. Abu Bakar Marzuki dan Peguam Besar Negeri Sarawak, Datu Saferi Ali.