KUCHING: Kawasan Dewan Undangan Negeri ( DUN) Jepak memerlukan perkhidmatan stesen minyak dan mesin Pengeluaran Wang Automatik (ATM).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, banyak perancangan sudah dirancang untuk kawasan DUN terbabit dan berharap agar pembangunan kawasan itu juga diteruskan dengan mewujudkan perkhidmatan diperlukan itu.
“Perkhidmatan seperti pejabat bomba, stesen minyak, mesin ATM, dan banyak lagi,” katanya pada Sidang Media Khas Aspirasi Pembangunan Komuniti Jepak di Matang, di sini, hari ini.
Di samping itu, Iskandar menjangkakan Jambatan Bintulu-Jepak akan siap pembinaannya pada penghujung tahun ini.
“Jambatan berkenaan sesuai untuk kita adakan program masyarakat seperti larian obor dan sebagainya kepada orang Bintulu dan Jepak khasnya,” katanya.
Tambahnya , jambatan yang akan menjadi tarikan pengunjung itu juga mampu membantu masyarakat untuk menjana pendapatan.
