Sembilan rumah terbakar di Kampung Bintawa Hilir

KUCHING: Sembilan rumah musnah dalam kebakaran di Lorong 13, Kampung Bintawa Hilir, di sini, awal pagi ini.

Menurut info Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak, pihaknya menerima panggilan jam 1.33 pagi ini dan mengarahkan pasukan Petra Jaya, Tabuan Jaya dan Padungan ke lokasi kejadian.

“Keseluruhannya tujuh rumah terbakar 100 peratus manakala dua rumah terbakar 30 peratus. Bagaimanapun, tiada melibatkan kecederaan dan kemalangan jiwa,” menurut PGO Bomba Sarawak.

Seramai 44 anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Petra Jaya, BBP Tabuan Jaya dan BBP Padungan kemudian melakukan operasi memadam kebakaran.

Kebakaran berjaya dikawal pada jam 2.35 pagi dan operasi tamat sepenuhnya pada 6.20 pagi serta punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.