LAKIKR sokong usaha melestarikan alam sekitar

KUCHING: Pengarah Jabatan Hutan Sarawak, Datu Hamden Mohammad menzahirkan tahniah kepada Lembaga Amanah Kebajikan Islam Kuala Rajang (LAKIKR) atas inisiatif menyahut seruan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg  untuk melibatkan diri dalam aktiviti karbon hutan.

Menurutnya, inisiatif LAKIKR ini menunjukkan keprihatian lembaga itu dalam menjaga kelestarian alam sekitar.

Beliau berkata demikian semasa majlis penyerahan Permit Kajian Karbon (CSP) kepada LAKIKR di Pejabat LAKIKR Petra Jaya di sini.

Turut hadir pengerusi Lembaga LAKIKR merangkap Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh.

Permit Kajian Karbon (CSP) 2.003/2023 merupakan permit pertama yang dikeluarkan di hutan paya bakau kepada lembaga di Sarawak.

Kawasan untuk permit ini berkeluasan 30,197 hektar yang membolehkan LAKIKR
menjalankan kajian karbon hutan bagi menghasilkan Dokumen Reka Bentuk Projek (PDD) dan memohon lesen karbon hutan selaras dengan Peraturan Aktiviti Karbon Hutan 2022.

PDD yang dihasilkan perlu mematuhi piawaian karbon antarabangsa seterusnya membolehkan mereka melibatkan diri dalam perdagangan karbon.