LIMBANG: Projek dewan serbaguna dan gelanggang futsal sedang dilaksanakan di tujuh kampung dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kota di sini.
Projek itu di Kampung Telahak, Kampung Pengkalan Rejab, Kampung Kelapa Mawar, Kampung Buangabai, Kampung Mengatai dan Kampung Ulak serta projek gelanggang futsal di Kampung Binjai.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail yang telah melawat projek itu menjangkakan kesemuanya akan siap tidak lama lagi.
“Saya amat berpuas hati dengan perkembangan projek-projek terbabit dan ada yang sudah siap, dalam pembinaan dan dijangka siap tidak lama lagi,” katanya pada lawatan kerja ke kerja pembinaan Dewan Serbaguna Kampung Telahak di sini, hari ini.
Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota yakin semua kampung dan rumah panjang di DUN itu mempunyai kemudahan dewan menjelang 2025.
“Kita optimis sebanyak 56 kampung termasuk rumah panjang akan mendapat kemudahan asas termasuk dewan dan rumah ibadat menjelang 2025,” katanya.
