LUNDU: Persatuan Chung Hua Lundu menerima peruntukan sebanyak RM20,000 untuk menyambut Perayaan Tahun Baru Cina dan Chap Goh Mei tahun ini.
Sumbangan terbabit daripada Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak (ADUN) Tanjung Datu, Azizul Annuar Pehin Sri Adenan.
Beliau menyampaikan sumbangan itu pada sambutan Tahun Baru Cina ADUN Tanjung Datu anjuran Persatuan Ketua Kaum Masyarakat Cina Daerah Lundu dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Tanjung Datu di Bangunan Chung Hua Lundu, Pekan Lundu, di sini, hari ini.
Azizul juga mengumumkan akan membantu membaik pulih bangunan Persatuan Chung Hua Lundu yang telah berusia lebih 60 tahun.
Manakala Pusat Khidmat DUN Tanjung Datu di majlis itu juga memberikan sumbangan angpau dan barangan asas kepada seramai 22 asnaf dan 15 ketua kaum dan masyarakat Daerah Lundu yang menyambut Tahun Baru Cina.
