Banjir: Peruntukan mungkin ditambah, bakal dibincang mesyuarat kabinet

BINTULU: Kerajaan Sarawak mungkin menambahkan lagi peruntukan daripada peruntukan RM10 juta kepada Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) bagi membantu kawasan-kawasan yang terjejas banjir.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat kabinet sekiranya peruntukan RM10 juta yang diumumkan terdahulu tidak mencukupi.

“Semalam, kita telah mengeluarkan RM10 juta kepada JPBN untuk membantu kawasan-kawasan yang terjejas.

“Kita akan bincang dalam kabinet,” katanya kepada media semasa memantau keadaan banjir di sini dan Miri.

Menurut Abang Johari, keadaan banjir di Bintulu adalah luar biasa kerana perkara sebegini tidak disangka dan bukan disebabkan infrastruktur.

“Mungkin masalah iklim. Inilah sebabnya kerajaan kita di Sarawak selalu menekankan berkenaan perubahan iklim. Di mana kepanasan yang didapati oleh planet kita ini luar biasa,” tambahnya.

Beliau berkata, kerajaan akan cuba untuk membantu mereka yang terjejas dan mangsa yang didaftarkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

“Dan dari daftar itu, kita akan cuba untuk menilai apakah bantuan yang dapat kita berikan sambil menunggu laporan daripada sekretariat JPBN,” katanya.

Kerajaan Sarawak akan turut memberi bantuan kepada pihak kesihatan untuk memantau kesihatan rakyat yang terjejas banjir, katanya sambil mengucap terima kasih kepada Residen Bahagian Bintulu, anggota polis, bomba, APM dan agensi lain yang telah bekerja keras membantu tanpa mengira masa.

Abang Johari turut menzahirkan terima kasih kepada SHEDA, Bintulu yang menyumbang RM600,000 untuk keperluan mereka yang terjejas banjir.