KUCHING: Pelaksanaan tiga pakej projek tebatan banjir dengan kos awal dijangka melebihi RM1 bilion harus dilaksanakan secara serentak di sini.
Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof berkata tiga pakej di bawah projek ini yang pertama ialah terusan, kedua ialah jambatan dan ketiga
ialah baraj yang tidak dapat disediakan secara berasingan.
“Maka peruntukan itu agak besar, melebihi RM1 bilion dan peruntukan yang sedia ada masih lagi belum mencukupi kerana kita hendak laksanakan ketiga-tiga pakej serentak,”katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Sejijak, di sini, hari ini.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu berharap peruntukan tersebut dapat dimuktamadkan tahun ini untuk menyegerakan pelaksanaan projek terbabit.
“Kalau projek dapat dilaksanakan, bahagian Kuching termasuk kawasan sekitarnya seperti Bau, aliran air akan lebih banyak dikeluarkan daripada hulu bila berlakunya musim air pasang besar,” ujarnya.
Terdahulu, Ahli Parlimen Petra Jaya itu bersama Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkesempatan mengadakan lawatan ke PPS Dewan Haji Kamaruddin Kampung Segedup di sini.
Kedua-dua PPS ini secara rasminya ditutup memandangkan paras air di kawasan kediaman mangsa kembali ke paras normal.
