KUCHING: Pasar Malam Belia N6 Metrocity 2 boleh dipromosikan sebagai kawasan tarikan pelancongan di bandar raya ini.
Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, ia merupakan tarikan baharu pengunjung kerana pasar malam tersebut menjual pelbagai kelengkapan harian selain makanan dan minuman.
Dalam usaha menjadikan pasar berkenaan sebagai tarikan pelancong, Fadillah mencadangkan persatuan pasar malam tersebut bekerjasama dengan Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Sarawak selain Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan.
Katanya, kerjasama itu juga penting untuk meningkatkan kemudahan infrastruktur di kawasan berkenaan demi kemudahan pengunjung.
“Pembinaan infrastruktur yang baik ini amat penting untuk keselesaan awam misalnya menyelaraskan struktur bangunan supaya seragam.
“Ini penting agar peniaga dapat menjual barangan jualan
sepanjang musim dan pembeli dapat berkunjung ke sini dengan selesa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan tapak baharu Pasar Malam Belia Metrocity 2 di Metrocity Matang, malam tadi.
Menjelas lanjut, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata
pada masa sama, kemudahan lain seperti surau, memasang pagar tapak akan dilaksanakan untuk keselesaan pengunjung.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya menambahkata, pasar malam tersebut tidak hanya menggalakkan belia untuk berniaga malah turut meningkatkan sosioekonomi golongan itu khususnya di kawasan Tupong.
Hadir sama Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman, Timbalan Datuk Bandar Kuching Selatan Dato Dr Zaiedi Suhaili dan Pengerusi Pasar Malam Metro, Khairuzie Bolhassan.
Untuk rekod, pasar malam tersebut mempunyai 435 gerai dan daripada jumlah itu, 180 peniaga menjual pakaian.
Ia mula beroperasi pada 2016 dan kini menerima pengunjung anggaran 3,000 orang semalam.
