SIBU: Sarawak kini memperkukuhkan usaha ke arah diversifikasi ekonominya dalam usaha mencapai visi negeri maju menjelang 2030.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, tumpuan Sarawak kini bukan sahaja kepada sumber asli tradisional, tetapi juga kepada industri berasaskan biodiversiti dan tenaga boleh diperbaharui.
“Kita tidak lagi sekadar menebang pokok, tetapi kita tanam pokok untuk tujuan perdagangan karbon.
“Ini adalah sebahagian daripada ekonomi baharu yang kita promosikan,” katanya pada Majlis Tahun Baharu Cina anjuran Gabungan Persatuan Masyarakat Cina di Sibu, malam tadi.
Abang Johari berkata, keupayaan Sarawak dalam mencorakkan landskap ekonomi baharu dalam tenaga hijau hidrogen serta inovasi perubatan terus mendapat perhatian global.
Ini dibuktikan apabila beliau mendapat undangan daripada Singapura Yusuf Ishak Institute untuk berkongsi pandangan Sarawak mengenai pembangunan tenaga boleh diperbaharui.
“Pada 10 Februari depan, saya dijemput oleh Yusof Ishak Institute (ISEAS) untuk berucap mengenai ekonomi dan hala tuju kita pada masa akan datang,” tambanya.
Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan dan Seni Budaya Malaysia Dato Sri Tiong King Sing, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi, dan Pembangunan Bakat (Pengajian Tinggi dan Inovasi) Datuk Dr Annuar Rapaee, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (Kesihatan Awam Dan Perumahan) Datuk Michael Tiang Ming Tee dan kenamaan lain.
