Sarawak peruntuk dana tambahan bantuan banjir

SIBU: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM10 juta sebagai bantuan tambahan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (JPBN) dalam usaha membantu mangsa banjir di seluruh negeri ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, bantuan tambahan itu perlu susulan bencana itu menyebabkan kerosakan besar kepada harta benda dan infrastruktur.

“Kerajaan memperuntukkan tambahan RM10 juta kepada JPBN untuk membantu komuniti terjejas, selain daripada peruntukan sebelum ini.

“Bantuan lanjutan mungkin diperlukan dan kita akan bincangkan dalam kabinet negeri nanti bagi memastikan sokongan berterusan untuk mereka yang memerlukan,” katanya semasa Perhimpunan Tahunan Tahun Baharu Cina 2025 – Persatuan Cina Bersatu Bahagian Sibu di Hotel Kingwood, di sini, malam tadi.

Beliau melahirkan kebimbangan susulan bencana itu sehingga menjejaskan Miri, Bintulu, Kuching dan Serian.

“Kami turut bersimpati dengan mangsa banjir di semua tempat terutama mereka yang kehilangan nyawa di Miri,” katanya.

Abang Johari berkongsi bahawa beliau secara peribadi melawat Miri dan Bintulu, termasuk tapak tanah runtuh dan mendengar taklimat mengenai situasi bencana.

Katanya, Bintulu khususnya mengalami banjir terburuk dalam tempoh lebih 30 tahun, dengan 900 mililiter hujan yang tidak pernah berlaku sebelum ini direkodkan dalam satu hari iaitu jauh melebihi purata tahunannya sebanyak 100 mililiter.

“Bintulu ditenggelami air dan kita bersimpati dengan penduduk di situ. Serian juga terjejas teruk,” katanya lagi. — Sarawakku