SIBU: Bantuan kepada mangsa banjir yang tidak berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) merupakan budi bicara Jawatakuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak di peringkat kawasan masing-masing.
Menurut Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, setiap bahagian mempunyai Residen untuk menilai keadaan dan keputusan muktamad akan dibuat oleh Pengerusi JPBN Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
“Peruntukan yang diberi untuk membantu mereka yang berpindah daripada rumah dan saya telah menambah peruntukan, yang mana saya telah mengumumkan RM10 juta kepada JPBN Sarawak.
“Kalau mereka di rumah panjang terjejas banjir tapi mereka tidak berpindah sebab rumah panjang itu bertiang. Kita serah kepada pihak petabiran di bahagiannya ada Residen untuk menilai. Ia kemudian akan diputuskan oleh Pengerusi JBPN Sarawak.
“Kalau mereka tidak begitu terjejas, jadi kita berilah keutamaan kepada keluarga yang benar-benar terjejas. Banyak harta benda mereka hilang atau tidak dapat dipakai, kita serah kepada sekretariat.
“Tetapi sepertimana saya umumkan semalam, kalau peruntukan yang saya tambah RM10 juta tidak mencukupi, kita melihat pandangan daripada JPBN Sarawak dan akan kita bincangkan dalam Kabinet Sarawak membuat keputusan,” katanya selepas mengadakan kunjungan Tahun Baharu Cina ke kediaman Kaunselor Raymond Tiong, di sini petang tadi.
Abang Johari memberitahu, Kerajaan Sarawak akan membaiki jalan-jalan di Sibu termasuk jalan baharu di Sibu Jaya ke Jalan Lanang (Jalan Kong Yit Khim).
