Gagal patuhi PGM, pekerja perlu lapor JTK

KUCHING: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Sarawak memohon pekerja memaklumkan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) sekiranya majikan tidak mematuhi Perintah Gaji Minimum (PGM) sebanyak RM1,700 sebulan.

Pengerusi MTUC Bahagian Sarawak, Zaidi Nasar dalam kenyataan media berkata, mereka juga memohon pekerja memaklumkan kepada rakan pekerja dan majikan mengenai tarikh penguatkuasaan Akta PGM pada 1 Februari 2025.

Manakala, syarat-syarat PGM ialah majikan yang menggajikan lima orang pekerja atau lebih wajib membayar gaji minimum RM1,700 sebulan.

“Majikan yang menjalankan aktiviti profesional wajib membayar gaji minimum RM1,700 sebulan, tanpa mengira bilangan pekerja yang digajikan,” tambah MTUC Sarawak.

Untuk majikan yang menggajikan kurang dari lima orang pekerja, perintah ini akan berkuat kuasa pada 1 Ogos 2025.

Gaji minimum merujuk kepada gaji pokok dan tidak termasuk elaun, insentif atau bayaran tambahan dan untuk pekerja dibayar berdasarkan upah ikut kerja, berat tan, tugasan, perjalanan, atau komisen, gaji bulanan yang kena dibayar hendaklah tidak kurang daripada gaji minimum bulanan.

Menurutnya, majikan juga tidak boleh membayar gaji pokok yang lebih rendah daripada gaji minimum walaupun dengan persetujuan pekerja dan pekerja boleh membuat aduan kepada JTK jika terdapat pelanggaran.