Bayi diselamat di Baby Hatch BMC, ibu kandung diminta berjumpa menteri

KUCHING: Empat kes pembuangan bayi termasuk seorang bayi perempuan yang diselamatkan di Baby Hatch Borneo Medical Centre (BMC) pagi semalam direkodkan di Sarawak.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, sebanyak 54 kes pembuangan bayi atau janin direkodkan bagi lapan tahun lalu, antara Januari 2016 hingga Disember 2023.

“Ia merupakan statistik dicatatkan oleh Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-kanak (Unit D11), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan kerja ke BMC Kuching bagi merangka pelan tindakan bagi seorang bayi perempuan yang diselamatkan melalui fasiliti tempat perlindungan bayi di BMC di sini, petang tadi.

Sementara itu kata Fatimah, setakat 24 Mac 2024, sebanyak tiga kes buang bayi direkodkan, tidak termasuk kes bayi yang diselamatkan melalui Pusat Pelindungan Bayi BMC Kuching.

Katanya, mengikut peratusan bilangan bayi yang dibuang dengan bilangan kes remaja hamil di Sarawak, tren peningkatan dan penurunan adalah tidak ketara dan status quo dibawah satu peratus iaitu antara 0.19 peratus hingga 0.62 peratus.

Mengulas mengenai bayi perempuan yang diselamatkan itu, Fatimah meminta ibu kandung kepada bayi itu tampil bagi memudahkan proses pendaftaran kewarganegaraan.

“Saya merayu kepada ibu kandung bayi yang diselamatkan untuk berjumpa terus dengan saya atau mana-mana pelindung kanak-kanak di Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak demi kepentingan kanak-kanak.

“Kelahiran bayi dapat didaftarkan dengan status kewarganegaraan Malaysia kerana ibu kandung disyaki orang tempatan, namun jika sebaliknya, status bayi adalah belum ditentukan.

“Sekiranya bayi itu mempunyai status kewarganegaraan, adalah lebih mudah untuk pasangan yang layak untuk menjadikan bayi itu sebagai anak angkat,” katanya.