KUCHING: Fasiliti sukan untuk penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-21 di Sarawak akan siap sepenuhnya pada Jun ini, menurut Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Katanya, beberapa kemudahan sukan yang sepatutnya siap awal mengalami sedikit kelewatan akibat penularan pandemik Covid-19.
“Jadi untuk proses ‘mobilised’ memang mengambil masa sehingga menyebabkan kelewatan dan sebagainya,” katanya di Tapak Perkampungan Sukan Sarawak di sini petang tadi.
Dalam lawatan tersebut, Abdul Karim yang turut diiringi Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Gerald Rentap Jabu dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee meninjau tiga lokasi fasiliti SUKMA.
Antaranya dewan wushu yang diiktiraf terbesar di Malaysia, Stadium Sarawak dan Perkampungan Sukan Sarawak.
Untuk rekod, SUKMA Ke-21 akan berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos 2024 dengan mempertandingkan 37 acara sukan.
