Bersama bina Sarawak lebih inklusif, makmur

KUCHING: Rakyat di negeri ini diajak memperbaharui komitmen untuk membina Sarawak yang lebih inklusif, makmur, bersatu padu dan berdaya tahan.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah juga sehubungan itu mengingatkan rakyat agar terus berdiri teguh menyokong kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Katanya, Premier Sarawak memerlukan sokongan dan kerjasama semua rakyat untuk Sarawak memulakan perjalanan yang mencabar dalam mencapai objektif Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 iaitu menjadi wilayah maju menjelang 2030.

Beliau berkata demikian dalam perutusan khas sempena Tahun Baharu Cina 2024 di sini.

Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan itu menambah kepelbagaian masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini menjadi kekuatan di Sarawak.

“Tahun Baharu Cina, walaupun berakar umbi dalam budaya Cina, adalah perayaan untuk semua rakyat Sarawak, melambangkan nilai keharmonian, saling menghormati dan semangat kemasyarakatan kita bersama.

Katanya, Tahun Baharu Lunar memberi harapan, masa untuk menerima fasa baharu dan meraikan kekayaan masyarakat berbilang budaya di negeri ini.