CENTEXS latih pekerja aeroangkasa

LUNDU: Program Aeroangkasa Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) akan menyokong operasi syarikat penerbangan AirBorneo dengan membekal pekerja berkemahiran tinggi.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, program khas akademi itu bertujuan melahirkan juruteknik dan jurutera yang berkemahiran selaras dengan keperluan syarikat penerbangan tempatan.

Di bawah program Aeroangkasa CENTEXS yang menawarkan lima sijil, ia akan membekalkan pelajar dengan kemahiran dalam sektor aeroangkasa, dari pemesinan teknikal hingga penyelenggaraan pesawat, katanya pada sidang media selepas lawatan ke Akademi Aeroangkasa CENTEXS Lundu hari ini.

Lee berkata, graduan ini memain peranan penting dalam penyelenggaraan dan pembaikan pesawat, memastikan keselamatan serta kebolehpercayaan armada yang digunakan oleh AirBorneo.

“Latihan praktikal yang disediakan di CENTEXS memastikan pelajar bersedia untuk bekerja pada pesawat tertentu yang digunakan oleh syarikat penerbangan berpangkalan di Sarawak.

“Ini meningkatkan kebolehpasaran mereka dan memberi nilai segera kepada industri,” katanya.
Bagi meningkatkan lagi kemahiran dan kepakaran pelajar, Lee menggalakkan CENTEXS untuk terus menjalinkan kerjasama rapat dengan pemain industri penerbangan lain termasuk AirBorneo.

Jelasnya lagi, kebanyakan kursus yang dijalankan dalam program Aeroangkasa adalah berbeza, sebagai contoh sijil dalam Operasi Pemesinan Aeroangkasa yang menghasilkan bahagian pesawat Airbus, khususnya Airbus 320 dan 321 akan menjalani enam bulan latihan di CENTEXS sebelum dihantar ke Subang selama tujuh bulan untuk latihan praktikal sebenar.

“Selepas itu, mereka akan meneruskan ke peringkat yang lebih tinggi, iaitu latihan pemesinan operator Kawalan Numerik Berkomputer (CNC) yang mengambil masa 24 bulan lagi.

“Setelah tamat latihan ini, mereka akan memperoleh lesen sebagai operator pemesinan dan juga sebagai operator CNC,” katanya.

Bagi sijil dalam Kejuruteraan Penyelenggaraan Pesawat, latihan yang dijalankan adalah latihan asas penyelenggaraan sebelum pengkhususan untuk jenis pesawat.

Selepas lima tahun dan melalui semua peperiksaan yang diperlukan, mereka layak menjadi jurutera penyelenggaraan pesawat, kata Lee.

Seramai 95 pelajar menyertai program tersebut dan lebih 200 orang masih menunggu untuk diserap menyertai program itu.

Dalam perkembangan lain, Lee berkata latihan kru kabin akan dijadikan kursus untuk melengkapkan Program Aeroangkasa CENTEXS, bagi memperluaskan lagi bidang berkaitan penerbangan termasuk latihan pengendalian darat.

Hadir sama Ketua CENTEXS Kampus Lundu Dr Nor Ashikin Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Akademik Akademi Aeroangkasa Digital Dan Tenaga Hijau Dr Dayang Hanani Abang Ibrahim.
Uu