KUALA LUMPUR: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menyenaraikan dua projek membabitkan kos sebanyak RM51.5 juta untuk pemuliharaan Muara Batang Kemena di Bahagian Bintulu dan Muara Sungai Trusan di Bahagian Limbang.
Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, dua projek itu disenaraikan di bawah Rancangan Boleh Pinda Pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RP1 RMK-13).
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui JPS menyenaraikan dua projek membabitkan kos sebanyak RM51.5 juta di bawah RP1 RMKe-13, katanya menjawab soalan lisan Senator Abun Sui Anyit pada persidangan Dewan Negara di sini, hari ini.
Senator Abun Sui bertanyakan langkah-langkah dan perancangan tebatan banjir untuk mengurangkan keadaan banjir buruk yang semakin menjadi-jadi dan teruk sehingga menenggelamkan banyak rumah seperti di Sungai Trusan, Sungai Kemena dan Sungai Miri di Sarawak yang muaranya semakin cetek.
“Projek-projek berkenaan adalah pemuliharaan Muara Batang Kemena, Bahagian Bintulu dan pemuliharaan Muara Sungai Trusan, Bahagian Limbang.
“Skop utama projek adalah mendalamkan sungai bagi meningkatkan kapasiti sungai untuk menampung aliran air yang tinggi terutamanya ketika musim hujan,” katanya.
Fadillah menjelaskan, PETRA melalui JPS juga akan mengemukakan permohonan Projek Pemuliharaan Muara Sungai Miri, Bahagian Miri bagi pelaksanaan kerja pengorekan muara sungai dengan anggaran kos RM16.6 juta di bawah RP2 RMK-13.
Tambahnya lagi, PETRA melalui JPS sedang melaksanakan projek rancangan tebatan banjir (RTB) Sungai Miri, Lembangan Sungai Miri dengan kos berjumlah RM31 juta.
“Pelaksanaan projek ini melibatkan kawasan Lutong, Krokop dan Jalan Jee Foh.
“Setelah siap kelak, projek ini dijangka memberikan perlindungan kepada lebih 5,000 penduduk daripada risiko banjir dan mengurangkan keluasan banjir seluas 600 hektar,” jelasnya.
Menurutnya lagi, kerja-kerja fizikal bermula Oktober 2023 dan kemajuan terkini di tapak adalah 28.16 peratus dengan projek dijangka siap pada Januari 2026.
Sebagai penyelesaian jangka pendek, beliau menjelaskan JPS melaksanakan kerja-kerja kecil di bawah Projek Pemuliharaan Sungai untuk mengurangkan risiko banjir.
“Peruntukan RM37.8 juta telah disalurkan di Sarawak pada 2022 sehingga 2024 untuk melaksanakan 360 sebutharga dengan skop utama seperti kerja-kerja pengaluran sungai, kerja-kerja menstabilkan tebing sungai dan menaik taraf saluran serta struktur berkaitan bagi meningkatkan kualiti air sungai.
“Senarai projek pada tahun ini pula sedang dimuktamadkan dan jumlah peruntukan adalah sebanyak RM13.1 juta,” ujarnya.
Bagi Parlimen Bintulu, Fadillah berkata, peruntukan berjumlah RM4.92 juta telah disalurkan pada 2022 sehingga 2024 untuk melaksanakan 41 sebutharga dengan skop utama seperti kerja-kerja pengaluran sungai, kerja-kerja menstabilkan tebing sungai dan menaik taraf saluran serta struktur berkaitan bagi meningkatkan kualiti air sungai.
“Pada tahun ini pula, sebanyak RM652,000 diperuntukkan untuk melaksanakan 3 sebut harga,” jelasnya.
Menurutnya lagi, bagi Parlimen Miri, peruntukan berjumlah RM812,000 telah disalurkan pada 2022 sehingga 2024 untuk melaksanakan 7 kerja sebutharga.
“Pada tahun ini, sebanyak RM900,000 diperuntukkan untuk melaksanakan 5 sebutharga.
“Manakala, di Parlimen Limbang, peruntukan berjumlah RM1.7 juta telah disalurkan pada 2022 sehingga 2024 untuk melaksanakan 35 kerja sebutharga dan pada tahun ini pula, sebanyak RM330,000 diperuntukkan untuk melaksanakan lapan sebut harga,” katanya.
